F5 BAB 3 Matematik Pengguna Risiko dan Perlindungan Insurans Tingkatan 5
F5 BAB 3 Matematik Pengguna Risiko dan Perlindungan Insurans Tingkatan 5
BAB 3 Matematik Pengguna Risiko dan Perlindungan Insurans Tingkatan 5
Di Malaysia, industri insurans telah dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia bawah Akta Insurans 1996
yang telah menggantikan Akta Insurans 1963. Akta ini dilengkapi dengan peraturan-peraturan insurans
dan menjadi asas perundangan utama yang mengawal urusan perniagaan insurans di Malaysia. Selain itu, akta ini telah memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia untuk menentukan perkara-perkara yang selaras dengan peruntukan akta.
Risiko
Kemalangan jalan raya yang mencederakan pemandu dan penumpang kenderaan yang terlibat, kemusnahan harta benda disebabkan kebakaran, bil perubatan yang tinggi akibat penyakit kritikal dan sebagainya mungkin boleh berlaku dalam kehidupan kita. Sudah semestinya kejadian seperti ini menyebabkan kita menanggung kerugian. Hakikat bahawa diri kita terdedah kepada kerugian sedemikian dan ketidakpastian sama ada perkara tersebut akan berlaku kepada diri kita atau tidak menyebabkan wujudnya risiko dalam kehidupan kita. Oleh itu, risiko secara umumnya ialah kemungkinan berlakunya musibah yang tidak dapat dielakkan.
Insurans
Insurans bertujuan memindahkan risiko daripada individu kepada organisasi insurans. Kontrak insurans dimeterai antara syarikat insurans dengan pemilik insurans. Dalam kontrak ini, syarikat insurans dikehendaki membayar ganti rugi atau pampasan bagi kerugian yang dilindungi seperti yang dinyatakan dalam polisi, sebagai balasan kepada bayaran premium yang dibuat oleh pemegang polisi.
Insurans hayat
Insurans hayat menjamin pembayaran manfaat kewangan kepada pemegang polisi sekiranya berlaku kematian terhadap orang yang diinsuranskan atau bawah keadaan yang ditetapkan dalam kontrak.
Insurans am
Insurans am memberikan perlindungan daripada sebarang kerugian atau kerosakan harta benda
yang ditanggung, selain risiko yang dilindungi dalam insurans hayat. Terdapat banyak jenis
insurans am yang melindungi pelbagai risiko.
(i) Insurans motor
Insurans motor memberikan perlindungan terhadap sebarang kerugian atau kerosakan berkaitan dengan penggunaan kenderaan berenjin. Jadual di bawah menunjukkan empat jenis polisi insurans motor yang melindungi kenderaan anda.
Polisi komprehensif memberikan perlindungan yang menyeluruh berbanding dengan tiga polisi di atas. Persamaan bagi polisi-polisi ini ialah perlindungan tidak merangkumi tuntutan pemandu dan penumpang kenderaan seperti kecederaan dan kematian.
(ii) Insurans kebakaran
Insurans kebakaran memberikan perlindungan terhadap kerugian akibat kebakaran, kilat dan letupan yang berlaku pada rumah kediaman ataupun bangunan perniagaan. Pampasan akan dibayar oleh syarikat insurans untuk memulihkan kedudukan kewangan pemegang polisi, tertakluk kepada jumlah yang diinsuranskannya. Bagi mendapatkan perlindungan selain daripada kebakaran, kilat dan letupan, pemegang polisi boleh memasukkan perlindungan tambahan seperti taufan, banjir, rusuhan dan sebagainya dalam polisi kebakaran yang sedia ada dengan tambahan premium.
(iii) Insurans perubatan dan kesihatan
Selain risiko kematian, anda juga perlu memberikan perhatian kepada risiko kemerosotan kesihatan yang mungkin dihidapi. Hal ini demikian kerana anda mungkin terpaksa menanggung perbelanjaan perubatan seperti kos kemasukan ke hospital dan pembedahan. Antara polisi yang terdapat dalam insurans ini ialah:
• insurans hospital dan pembedahan
• insurans penyakit kritikal
• insurans pendapatan akibat hilang upaya
• insurans pendapatan hospital
(iv) Insurans kemalangan diri
Insurans kemalangan diri memberikan perlindungan sekiranya pemegang polisi mengalami kecederaan anggota badan, kecacatan, hilang upaya ataupun meninggal dunia berpunca secara langsung daripada kemalangan. Insurans ini adalah berbeza daripada insurans hayat, dan insurans perubatan dan kesihatan.
(v) Insurans perjalanan
Insurans perjalanan melindungi pemegang polisi terhadap kerugian dalam perjalanan sama ada melalui darat, udara atau laut seperti kematian dan kecacatan kekal, kehilangan bagasi, pasport dan duit, belanja perubatan dan lain-lain.
Insurans berkelompok
Insurans berkelompok secara asasnya memberikan perlindungan kepada sekumpulan individu, biasanya pekerja syarikat atau murid sekolah dan pelajar institusi pendidikan.
• Insurans berkelompok kepada organisasi
Perlindungan kewangan disediakan kepada pekerja sesebuah organisasi seperti kematian, hilang upaya, kemasukan hospital dan pembedahan dengan polisi dan had perlindungan tertentu. Dengan adanya insurans ini, pekerja-pekerja syarikat tersebut akan menikmati perlindungan sewajarnya daripada majikan mereka.
• Insurans berkelompok kepada murid
Perlindungan kewangan disediakan kepada murid seperti kematian, lumpuh, kecacatan dan elaun kerusi roda dengan polisi dan had perlindungan tertentu. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan skim perlindungan kepada murid sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan bawah skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM).
Comments
Post a Comment